Feb 9, 2011

Tok, Saya Sayang Atok! :)

pagi ini sangat lain;sangat. selalunya aku bangun selepas berkali kali mak menjerit panggil nama aku berulang kali,tapi hari ini atok kejutkan aku bangun dari tidur.

atok kata,
"hari ini kamu teman tok jalan-jalan ke luar.tok dah penat asyik terperap dalam rumah,nak jugak tengok luar sekali-sekala.cepat bangun.tok belanja kamu makan roti canai kedai Pak Wan."

aku yang mamai-mamai,tarik selimut dan sambung tidur,tapi atok tarik telinga aku,suruh aku terus mandi dan solat.
aku mandi dan terus siapkan diri.selesai aku solat,aku dah dengar atok panaskan enjin motor yang dah seusia dengannya,74 tahun.

"tok kejap!"

"apa lagi tu?!!"

"nak cari topi keledar lah tok!" ,aku jerit separuh geram.

"tak payah,jalan kampung tak ada polis,usah kamu risau!"

aku berlari-lari anak menuju ke arah atok.dan,kami terus beredar keluar dari rumah tanpa memberitahu mak yang sibuk bersiap nak ke sekolah,dan ayah yang baru nak solat,adik-adik yang sedang kemas beg dan ikut jadual hari ini.semua tergesa-gesa,tapi atok lagi hebat.

setibanya di kedai Pak Wan,atok macam biasa tunjuk isyarat tangan,roti canai 2,teh o panas 2.
atok memang dah biasa makan di gerai Pak Wan,katanya,pemilik gerai ni ada pertalian darah dengan keluarga aku,sebab atok aku ramai adik beradik.

"kamu kenapa tak sekolah hari ni?"

aku membeliakkan biji mata menjawab, "tok,saya dah habis sekolah,sekarang tunggu result.tok lupa ke??" ,nada agak kecewa.

"aku bukan lupa,saja-saja tanya",tanpa rasa bersalah suara nya menjawab.

"tok mimpi apa tiba-tiba ajak saya keluar jalan jalan?", aku bertanya sambil menghirup air teh o panas yang baru sampai di meja makan kami.

"dah lama aku tak keluar rumah.sejak kemalangan hari tu,sejak tu lahh mak ayah kamu kongkong tok suruh duduk rumah,risau kena lagi."

atok lebih suka membahasakan dirinya "aku" daripada "tok", katanya lebih akrab,macam kawan-kawan.

selesai kami sarapan pagi,atok bawa aku ke kebunnya,yang agak luas dan kebun-kebun yang ada di situ merupakan milik anak-anaknya,termasuk kebun ayah aku.

sambil memegang tangan aku,kami masuk ke dalam kebun dan berehat sekejap di dangau,buatan atok dan nenek aku sendiri.orang tua-tua kata "dango" ,ikut loghat orang perak.

atok bukan jenis yang senang duduk diam,dia ajak aku melihat seluruh kawasan kebunnya,pokok rambutan,serai,pokok durian,pokok limau, dan pisang. pokok lemon pun ada.

"kamu tahu tak dulu aku dengan nenek suke beno uruskan kebun ni,sebelum aku sakit."

aku mengangguk sambil membunuh nyamuk-nyamuk yang berhampiran aku,tapi atok tak kisah.aku tengok dah gemuk dah perut nyamuk yang gigit atok aku,tapi atok buat-buat tak tahu.katanya dah biasa.

"dah beso nanti,kamu dan adik beradik kamu uruskan lah kebun ni,jangan biar ayah kamu sorang je.bukannya kecik kebun kita nih.waktu lapang,ajak abang kakak kamu datang,jangan biar kebun kita ni nampak semak."

sambil sengih-sengih aku menjawab,
"tapi saya tak reti sangat kerja tanam-tanam ni tok.setakat potong rumput guna mesin,boleh lah."

"lagi satu,waktu muda-muda ni laa kamu kena kerja keras kumpul duit.bila dah tua,senang hidup.tak payah susahkan anak-anak.waktu sakit,tak payah guna duit orang lain,duit sendiri ada."

mak aku memang pernah cerita,atok dan nenek sangat rajin.tak pernah nak duduk di rumah,ada saja benda nak dibuat,dan hasilnya dijual.banyak untung dorang dapat.sampai sekarang,duit dorang tak pernah habis.

hari ni,atok sangat banyak bercakap,
"kamu jangan duk menyusahkan mak ayah kamu.belajar berdikari.",sambil menggosok-gosok dadanya,mungkin penat.

aku tarik tangan atok dan ajak berehat kat kawasan yang agak lapang,yang kelilingnya ditanam pokok kelapa,dan pokok pinang.

aku pandang raut wajah atok,dia nampak seronok sangat dapat keluar.

"kamu nak air kelapa?," atok pelawa aku dan bangun.

"eh tok! tak payah,ayah ada ajar saya macam mana nak buat.tok duduk diam-diam,biar saya yang buat," aku mengambil parang yang dah memang diletakkan di bawah pokok kelapa,

dan aku terdengar atok aku bercakap sendirian,
"pandai cucu aku,tak menyesal aku beli kebun besar ni,"

"tok dah siap! nahh,manis!",aku menghulurkan kelapa yang dah siap ditebuk untuk diminum.

atok senyum,dan
mata aku sikit pun tak lari daripada melihat muka atok,yang senyum dan terus senyum dari tadi.


senyuman atok makin lama makin melebar,dan menghilang,sambil berpesan,
"jangan lupa doakan tok,setiap kali selesai solat,doakan tok kat sini yaa dan jaga opah kamu baik-baik,"

aku terjaga sambil mengucap panjang,
"Ya Allah,kau cucurilah rahmat ke atas roh atok ku,dan tempatkanlah dia dalam kalangan hamba-hambaMu yang soleh dan solehah,amiiin",sambil mengesat pipi yang dibasahi air mata kerinduan.

kita tak pernah sembang-sembang sangat,sebab mungkin saya masih belum besar,dan tok sangat akrab dengan abang dan kakak.

(beberapa tahun yang lalu) abang orang pertama yang beritahu "tok dah tak ada" ,dan apa yang saya boleh buat waktu itu cuma berdiri dan memandang abang yang menutup muka.

setibanya di rumah tok ,saya cuma terduduk bersandar di dinding dan menghadap tok yang sedang diselimuti kain putih.yassin menjadi suara yang berganti-ganti;orang datang dan pergi.

. . . . . . . .