Jun 2, 2021

Hai June.

 Selamat siang, kawan.


Hari ini adalah seperti hari biasa. Rutin yang biasa. Terbangun dari tidur yang separuh nyenyak, bergegas membuka mata yang terkatup rapat memejam mimpi yang takkan ada kesinambungan, mengejar subuh yang hampir lolos -- bukan waktunya yang kelewatan, tapi khusyuknya yang samar-samar dilihat awan.


**

Di ketika aku sedang menulis, langit sudah bergelap diteman sang bulan yang menyorok disebalik awan, kunang-kunang cuma sekadar singgah tak beramai, tak berpesta. Sekadar sahaja.

& di waktu ini,

fikiranku seperti sebuah rumah usang, berhabuk, dipenuhi hal-hal yang menanti reput, berpenunggu dan barangkali berhantu. Sedang aku cuba meneliti satu per satu helai fikiranku -- ternyata ianya tak tersusun rapi. Ada, namun tak dipeduli. Hidup, namun dibiar mati. 

Ada suara kecil yang memegang bahuku, "Kelmarin penuh cahaya. Semalam gelap gelita. Hari ini bangkai di merata-rata. Apa kau fikir ini ruangan untuk kau bermain, melampias segala kecewa yang tak terungkapkan? Apa kau fikir aku mampu untuk memikul setiap harapan yang tak pernah sedikitpun kau hidupkan?"

Iya, bahuku jadi memberat & sarat. 

"Aku cuba menjadi mimpi yang kau boleh senyum-senyumkan. Aku tumbuhkan bunga-bunga kecil, aku warnakan langit menjadi warna manis dan berbau wangi, aku jejakkan kaki kau ke atas rumput yang menghijau, berembun dan meredup;

tapi setiapnya hancur. 

Hanya kerana kau senyumkan bangkai dalam jiwa. Hanya kerana kau hidupkan memori celaka dalam setiap mimpi yang aku jaga."

Aku terduduk, merenungtembus dinding yang kosong, lompong. Suara kecil itu seakan-akan cuba menjerut leherku, mengelar tubuhku, sambil menjamah pemikiranku. Renunganku melolong, & aku tersenyum.

**

Hiduplah wahai diri. Hiduplah walau sendiri; hari esok mungkin dibungkusrapi dalam mimpi yang berpenghuni.